Organisasi Perubatan Terkemuka Mengemas Kini Garis Panduan untuk Ujian Molekul dan Terapi Sasaran untuk Kanser Paru-paru


DENVER, Jan. 25, 2018 (GLOBE NEWSWIRE) -- Perkembangan pesat dalam ujian diagnostik bagi molekul kanser paru-paru telah menghasilkan rawatan baharu dan memberikan lebih harapan untuk pesakit kanser paru-paru, yang merupakan punca utama kematian akibat kanser di seluruh dunia.

Untuk memastikan para klinisian mengikuti perkembangan terkini dan memberikan penjagaan pesakit yang optimum, tiga persatuan perubatan terkemuka—Kolej Ahli Patologi Amerika (CAP), Persatuan Antarabangsa untuk Kajian Kanser Paru-paru (IASLC) dan Persatuan untuk Patologi Molekul (AMP)—telah mengemas kini garis panduan berdasarkan bukti 2013 mereka.

Diterbitkan pada hari ini dalam keluaran awal dalam talian, “Garis Panduan Ujian Molekul Dikemas Kini untuk Pemilihan Pesakit Kanser Paru-paru bagi Rawatan dengan Perencat Tyrosine Kinase Sasaran,” terus menjadi piawai analisis molekul bagi kanser paru-paru untuk hasil ujian yang menjadi panduan berkesan untuk terapi dan rawatan sasaran.

Terapi kanser sasaran ialah ubat atau rawatan lain yang menghalang penyebaran kanser dengan mengganggu molekul tertentu yang mendorong pertumbuhan dan perkembangan kanser tersebut. Pesakit dengan tumor yang mengandungi pengubahan molekul tertentu boleh menjadi calon untuk terapi perencat tyrosine kinase (TKI) sasaran, yang boleh meningkatkan kemandirian dan kualiti hidup.

“Kemas kini ini dipengaruhi oleh beberapa faktor, yang dibuat berdasarkan garis panduan yang kami keluarkan pada tahun 2013,” kata Neal Lindeman, MD, pengarah Diagnostik Molekul di Brigham and Women’s Hospital dan Profesor Madya Patologi di Harvard Medical School di Boston, yang juga merupakan ahli AMP. “Garis panduan amalan klinikal mesti terus menilai bukti baharu yang semakin bertambah dan mempertimbangkan teknologi ujian baharu yang muncul.”

Dr. Lindeman mengetuai panel penulis pakar antarabangsa berbilang disiplin yang dilantik oleh ketiga-tiga organisasi tersebut. Panel tersebut termasuklah ahli patologi, onkologi, pulmonologi, ahli metodologi, saintis makmal dan wakil pesakit yang bekerjasama untuk membangunkan garis panduan dengan mengikuti proses berdasarkan bukti Institusi Perubatan itu.

Garis panduan yang dikemas kini tersebut mengukuhkan atau menegaskan lagi kebanyakan daripada pengesyoran 2013 untuk pesakit dengan adenokarsinoma paru, dan juga mengesyorkan ujian untuk beberapa gen baharu. Terutamanya:

  • Ujian untuk mutasi ROS1 ialah baharu dan amat disyorkan untuk semua pesakit kanser paru-paru tanpa mengira ciri klinikal.

  • Panel penjujukan genetik multipleks (cth. ujian NGS) diutamakan berbanding ujian gen tunggal berbilang untuk mengenal pasti pilihan rawatan lain selain daripada EGFRALK dan ROS1, namun asai gen tunggal masih diterima.

  • Apabila NGS dilakukan, beberapa gen lain juga dicadangkan – BRAFERBB2METRET, dan KRAS.  Namun begitu, gen-gen ini tidak diperlukan jika hanya ujian gen tunggal dilakukan. Peringatan: BRAF mempunyai bukti awal terkini, yang kami menjangkakan akan lebih disyorkan untuk dirangkumkan sebagai asai gen tunggal juga pada masa akan datang.

  • Ujian untuk relaps diperlukan bagi EGFR (T790M), tetapi tidak bagi ALK, kerana kesensitifan pembezaan untuk perencat ALK barisan kedua dalam keadaan mutasi perolehan tertentu dalam ALK belum matang sepenuhnya dan masih dalam peringkat siasatan.

  • Ujian untuk EGFR T790M dalam relaps mungkin boleh dilakukan menerusi biopsi atau DNA beredar bebas sel.  Namun begitu, DNA bebas sel tidak sesuai untuk diagnosis permulaan pada masa ini, melainkan jika sampel tisu atau sitologi tidak dapat diperolehi.

  • Selain itu, pengesyoran sebelum ini kebanyakannya diperkuatkan dengan pengukuhan bukti yang menjurus kepada pengukuhan pengesyoran asal. Perubahan yang paling penting:

    •   Rangkuman bagi IHC untuk ALK sebagai alternatif kepada FISH; 

    •   Rangkuman bagi sebarang sampel sitologi dengan kandungan kanser yang mencukupi, dan bukannya mengesyorkan blok sel.

  • Pendapat diutarakan bahawa sampel juga harus diketepikan untuk asai bagi meramalkan tindak balas terhadap imunoterapi (cth. PD-L1 IHC), tetapi tiada pengesyoran khusus dibuat tentang cara meramalkan tindak balas rawatan ini. Hal ini akan menjadi subjek garis panduan yang akan datang.

Garis panduan lengkap tersedia dalam talian di Arkib Patologi & Perubatan MakmalJurnal Onkologi Toraks, dan Jurnal Diagnostik Molekul.  Tambahan lagi, CAPIASLC dan AMP  telah membangunkan sumber untuk membantu ahli patologi dan onkologi menyemak dan melaksanakan garis panduan tersebut, termasuk ringkasan pengesyoran, pembentangan pengajaran dan soalan lazim.

Perihal Kolej Ahli Patologi Amerika
Sebagai organisasi terbesar dunia untuk ahli patologi bertauliah dan peneraju pembekal bagi akreditasi makmal dan program ujian kemahiran, Kolej Ahli Patologi Amerika (CAP) berkhidmat untuk pesakit, ahli patologi dan umum dengan memupuk dan menggalakkan kecemerlangan dalam amalan patologi dan perubatan makmal di seluruh dunia. Untuk maklumat lanjut, BACA LAPORAN TAHUNAN CAP di CAP.ORG.

Perihal Persatuan Antarabangsa untuk Kajian Kanser Paru-paru
Persatuan Antarabangsa untuk Kajian Kanser Paru-paru (IASLC) ialah satu-satunya organisasi global yang khusus terhadap kajian kanser paru-paru dan kemaglinanan toraks lain. Diasaskan pada tahun 1974, keahlian persatuan ini termasuk lebih daripada 6,500 orang pakar kanser paru-paru yang meliputi semua disiplin di lebih daripada 100 buah negara, membentuk rangkaian global yang bekerjasama untuk melawan kanser paru-paru dan toraks di seluruh dunia. Persatuan ini juga menerbitkan Jurnal Onkologi Toraks iaitu penerbitan pendidikan dan bermaklumat utama untuk topik yang relevan dengan pencegahan, pengesanan, diagnosis dan rawatan semua kemalignanan toraks. Lawati www.iaslc.org untuk maklumat lanjut.

Perihal Persatuan untuk Patologi Molekul
Persatuan untuk Patologi Molekul (AMP) ditubuhkan pada tahun 1995 untuk memberikan struktur dan kepimpinan dalam disiplin diagnostik molekul yang semakin berkembang. Seramai 2,300 lebih ahli AMP berkhidmat dalam pelbagai bidang diagnostik molekul, termasuk bioinformatik, penyakit berjangkit, penyakit keturunan dan onkologi. Mereka termasuklah individu daripada pusat perubatan akademik dan komuniti, kerajaan dan industri, termasuk ahli patologi dan pengarah makmal saintis kedoktoran, saintis asas dan translasi, ahli teknologi dan pelatih. Melalui usaha Lembaga Pengarah, Jawatankuasa, Kumpulan Kerja dan ahlinya, AMP merupakan sumber utama bagi kepakaran, pendidikan dan kerjasama dalam salah satu bidang yang paling cepat berkembang dalam penjagaan kesihatan. Ahli AMP mempengaruhi polisi dan peraturan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa, lalu meningkatkan inovasi dalam bidang tersebut dan melindungi akses pesakit untuk ujian yang berkualiti tinggi dan sesuai. Untuk maklumat lanjut, lawati www.amp.org.

Hubungan Media:
Kerry Lydon, CAP
887-832-7844
klydon@cap.org

Colleen Miller, IASLC
720-325-2952
Colleen.Miller@iaslc.org

Andrew Noble, AMP
415-722-2129
anoble@amp.org